Khamis, 19 April 2018 - Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 telah diluluskan dalam sidang Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 3 April 2018 yang lalu. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang paling besar bagi Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia terutama bagi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia setelah sekian lama Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) masih berada di tahap yang sama tanpa sebarang pindaan. Banyak perubahan dan perancangan akan berlaku apabila RUU ini diwartakan tidak lama lagi dengan aktiviti pembangunan sukan boleh dirancang terutama dari segi pembangunan badan sukan itu sendiri selain perubahan ke satu tahap yang lebih tinggi di dalam aspek pertikaian badan sukan selain dari perubahan di dalam aspek penganjuran acara sukan di Malaysia.

Ini merupakan era baru bagi pembangunan sukan di Malaysia. RUU pindaan kali ini mengandungi sebanyak 16 fasal dan merupakan pindaan yang besar terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997. Salah satu perkara yang dimasukkan dalam pindaan kali ini adalah mengenai peruntukan kesalahan denda di bawah seksyen 36 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000 serta pemenjaraan tidak melebihi 5 tahun. Cadangan peruntukan ini dimasukkan adalah bertujuan untuk memastikan penganjuran acara sukan oleh syarikat-syarikat penganjur dapat dikawal dan seterusnya mewujudkan persekitaran acara sukan yang kondusif dan selamat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam secara dasarnya. Dengan wujudnya peruntukan ini, Akta 576 akan menjadi lebih sejagat dan komprehensif di mana bukan sahaja bagi tujuan pengawalseliaan ke atas penganjuran acara sukan malah, boleh dijadikan pengajaran kepada syarikat-syarikat penganjur untuk tidak sewenang-wenangnya tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan Pesuruhjaya bagi sesebuah penganjuran acara sukan

Selain itu, pindaan kali ini juga memperuntukkan suatu jawatankuasa yang baharu bagi menggantikan Panel Penasihat Sukan iaitu Jawatankuasa Pertikaian Sukan. Jawatankuasa ini berperanan untuk menyediakan suatu platform dan medium yang murah, cepat dan adil bagi penyelesaian pertikaian sukan. Jawatankuasa ini juga diharap dapat membantu mana-mana badan sukan yang bagi menyelesaikan pertikaian dalaman. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa ini tidak menghalang mana-mana medium penyelesaian pertikaian sedia ada untuk digunapakai oleh pihak yang terlibat kerana rujukan kepada Jawatankuasa ini bukanlah mandatori tetapi merupakan suatu alternatif yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu badan sukan dalam penyelesaian pertikaian sukan.

Bagi Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dato’ Zaiton Othman, beliau berharap dengan pindaan Akta ini akan menyemarakkan lagi pembangunan sukan di Malaysia dan memacu kejayaan sukan di peringkat yang lebih tinggi. Sekian.

 

LOKASI KAMI

tel
Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,
Aras 2, Gimnasium 3,

Kuala Lumpur Sports City,
57000 Seri Petaling  

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tel: 03-8994 4800/01 
Fax: 03-8994 4810 
Email : pps@kbs.gov.my

    Gov 1GovUc kbs
    MAMPU MDEC MSN
    PMO IPPBM
        ISN IYC PSM
    ROS ROY YAKEB
Go to top
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable