Kuala Lumpur, 10 Januari 2018 – Tahun 2017 telah ditinggalkan dengan pelbagai kenangan suka duka. Tahun 2017 juga ditinggalkan dengan kejayaan badan sukan melahirkan atlet sukan negara yang cemerlang dengan kejayaan meraih pingat emas tertinggi di dalam Temasya Sukan Sea ke-29 baru-baru ini. Memasuki tahun 2018 adakah semua badan sukan di Malaysia benar-benar bersedia untuk meneruskan agenda pembangunan sukan negara,  melahirkan atlet di peringkat akar umbi dan memperkemaskan pentadbiran badan sukan masing-masing. Bagi keseluruhan badan sukan di Malaysia, tahun 2018 boleh dijadikan tahun untuk memperkemaskan lagi pentadbiran dalaman sesebuah badan sukan. 

Bagi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, ukuran kepada keaktifan sesebuah badan sukan itu adalah melalui usaha sesebuah badan sukan itu dapat mengadakan mesyuarat agung tahunan dan dapat menghantar laporan tahunan ataupun Maklumat Yang Kena DiBerikan (MYKB) ke pejabat ini. Jika dilihat statistik keseluruhan badan sukan yang telah menghantar MYKB ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia amatlah mengecewakan. Ini kerana tidak sampai 50% daripada jumlah badan sukan yang berdaftar di pejabat ini yang menghantar MYKB. Sehingga tahun 2017, jumlah badan sukan keseluruhan yang telah berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan adalah sebanyak 9,512 badan sukan. Walau bagaimanapun, jumlah penghantaran MYKB oleh badan sukan hanyalah 24.19% sahaja daripada jumlah tersebut. Jumlah ini amatlah membimbangkan kerana persoalan akan timbul sama ada adakah badan sukan di Malaysia wujud. Adakah ianya wujud bertujuan untuk menyemarakkan pembangunan sukan negara atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Apakah mentaliti hidup segan mati tak mahu masih wujud di kalangan badan sukan di Malaysia. Bagaimana pula dengan cita-cita KBS untuk menjadikan Malaysia negara berbudaya sukan. Adakah badan sukan melihat cita-cita tersebut sebagai satu aspirasi atau halangan kepada mereka.

Oleh yang demikian, bagi tahun 2018 perubahan boleh di laksanakan oleh badan sukan di Malaysia supaya mereka menjadi lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Setiap badan sukan di Malaysia diseru supaya merencana kembali perancangan bagi tahun 2018 dan tahun-tahun seterusnya supaya dapat meneruskan survival dengan menjadikan badan sukan itu benar-benar aktif dan menyahut seruan kerajaan dalam pembangunan sukan Negara.

Bagi Pejabat Pesuruhajaya Sukan Malaysia, tahun 2018 ini adalah tahun untuk kita melihat dan mengkaji kembali status pendaftaran setiap badan sukan di Malaysia. Kerja-kerja pemutihan sedang dilaksanakan bagi menentukan tahap keaktifan badan sukan. Usaha seperti khidmat nasihat kepada badan sukan akan diteruskan selain dari tindakan penggantungan dan pembatalan badan sukan yang tidak aktif. Pejabat ini juga telah merancang pelbagai aktiviti dan program khusus bagi membantu badan sukan di dalam aspek pengurusan mengikut amalan tadbir urus yang baik. Kursus Pengurusan Organisasi Badan Sukan (KPOBS) akan diteruskan untuk dilaksanakan di setiap negeri pada tahun 2018 khusus untuk badan sukan yang baru berdaftar. Selain itu juga, program naziran dan pemantauan juga akan diteruskan ke negeri-negeri bagi memberi khidmat nasihat dan naziran kepada badan sukan khusus untuk badan sukan yang telah lama menyepikan diri. Bagi tahun 2018 ini juga, pejabat akan mengadakan semula program penarafan bintang (Star Rating) badan sukan dalam menentukan amalam tadbir urus yang terbaik terutama di kalangan badan sukan kebangsaan selain daripada program-program lain yang berkaitan seperti kidmat nasihat, pengurusan pertikaian dalaman badan sukan dan sebagainya.

Apa yang diharapkan badan sukan dapat menjadikan tahun 2018 ini tahun yang cemerlang. Perancangan perlu di atur supaya badan sukan terus relevan dengan tahun ini juga terdapat pelbagai kejohanan sukan besar seperti Sukan Malaysia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang memerlukan badan sukan terus bersedia dalam melahirkan atlit yang berjaya seterusnya menjadikan badan sukan yang mempunyai amalan tadbir urus yang terbaik. Sekian.

Disediakan Oleh :
Khairuddin bin Khalid
Cawangan Dasar dan Pembangunan,
Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

LOKASI KAMI
tel
Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,
Lot  G-R-1 Enterprise 4,

Technology Park Malaysia,
Bukit Jalil  57000  

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tel: 03-8994 4800/01 
Fax: 03-8994 4810 
Email : pps@kbs.gov.my

    Gov 1GovUc kbs
    MAMPU MDEC MSN
    PMO IPPBM
        ISN IYC PSM
    ROS ROY YAKEB
Go to top
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable