KENYATAAN MEDIA 
BERHUBUNG ACARA KLANG CITY INTERNATIONAL MARATHON 2017 
ANJURAN SYARIKAT EARTH RUNNERS INT. GROUP SDN BHD 
PADA 10 DISEMBER 2017

  

Insiden kemalangan yang melibatkan tiga pelari marathon dan sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 2 awal pagi semalam adalah dirujuk.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan ingin menegaskan bahawa  pihak kami tidak menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan lesen penganjuran Klang City International Marathon. Justeru,acara larian tersebut telah dilaksanakan tanpa kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan selaku pihak yang mengawal selia sebarang penganjuran acara sukan dalam Negara.

Perkara ini amat kami kesali kerana sebarang penganjuran acara sukan perlulah mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997, di samping badan pengelola sukan yang terbabit, pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Perkara ini adalah diwajibkan bagi memastikan penganjur yang akan menganjurkan acara sukan benar-benar berkemampuan dari aspek kewangan, teknikal serta mematuhi  kaedah dan garis panduan yang ditetapkan oleh badan pengelola sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Justeru, pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang ke atas penganjur acara ini atas kesalahan yang telah mereka lakukan di bawah Akta ini

Saya ingin sekali lagi mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang acara sukan untuk memohon dan mendapatkan kebenaran kami sebelum acara tersebut dianjurkan. Penganjur juga diingatkan agar mematuhi keputusan yang diberikan terhadap permohonan yang dibuat. Ini bagi memastikan penganjuran  dilaksanakan hanya setelah semua peraturan dipatuhi dan langkah-langkah yang perlu diambil, demi kelicinan acara dan keselamatan semua. Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak penganjur melanggar arahan ini.

Bermula 14 Disember ini, Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan memuatnaik senarai acara-acara sukan yang telah diberikan kebenaran untuk dilaksanakan di laman web Kementerian Belia dan Sukan. Layari kbs.gov.my untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Saya juga ingin merakamkan rasa sedih dan simpati kami kepada  tiga pelari yang terbabit dan mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut dan berdoa agar mereka akan pulih dengan segera.

Dato’ Zaiton Othman
Pesuruhjaya Sukan Malaysia
11 Disember 2017
LOKASI KAMI
tel
Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,
Lot  G-R-1 Enterprise 4,

Technology Park Malaysia,
Bukit Jalil  57000  

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tel: 03-8994 4800/01 
Fax: 03-8994 4810 
Email : pps@kbs.gov.my

    Gov 1GovUc kbs
    MAMPU MDEC MSN
    PMO IPPBM
        ISN IYC PSM
    ROS ROY YAKEB
Go to top
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable